Posts Tagged ‘jururawat main dengan doktor’

Jururawat Lelaki !

Posted on the August 9th, 2011 under informasi by

Karier sebagai jururawat bagi golongan kaum lelaki bukan lagi isu pelik dikalangan rakyat Malaysia, walaubagaimanapun masih ada segelintir tanggapan bahawa tugasan ini tidak releven untuk kaum lelaki.  Ini kerana bagi mereka pekerjaan sebagai nurse ini memerlukan kreteria seorang yang lemah lembut yang sinonim dengan sifat wanita.

Saya tidak setuju jika masih ada orang yang memandang sinis kepada lelaki yang memegang tugas sebagai seorang jururawat. Pekerjaan ini adalah mulia.

Dibawah ini saya lampirkan pengalaman 3 orang lelaki yang bergelar Jururawat, ihsan daripada Berita Harian:

DARI kiri, Naimullah Jamaluddin, Mohamad Azaha Mohamed Yusoff dan Muhammad Afiq Zulkifli.

DARI kiri, Naimullah Jamaluddin, Mohamad Azaha Mohamed Yusoff dan Muhammad Afiq Zulkifli.

Azaha suka profesion ekstremMENYIMPULKAN profesion jururawat sebagai cabang kerjaya ekstrem, Mohamad Azaha mengakui pilihannya tepat ketika nekad untuk terjun dalam kerjaya yang selama ini dimonopoli wanita.

Tidak seorang pun dari anggota keluarganya menjadi jururawat, jejaka berusia 25 tahun ini mula berkobar-kobar mendalami ilmu kejururawatan tatkala mendaftar masuk ke Kolej Perubatan Masterskill, kira-kira empat tahun lalu.

“Pada mulanya, saya kurang arif skop kerjaya jururawat, apatah lagi seorang lelaki yang bertugas dalam bidang ini. Namun, apabila sudah belajar dan melalui kelas praktikal, rasanya bidang ini memang mencabar bagi seorang lelaki,” kata Mohamad Azaha yang bertugas di bahagian Dewan Bedah.

Menggemari aktiviti ekstrem, Mohamad Azaha mengakui bidang kejururawatan memerlukannya bertindak pantas dan berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk bersedia untuk menerima kes kecemasan.

Beliau berkata, jururawat perlu setiap saat bersedia dengan pelbagai kes tidak diduga sama ada kemalangan, kebakaran dan kes kecemasan lain.
“Ketika tempoh praktikal lagi saya sudah didedahkan dengan pelbagai tugasan mencabar termasuk bertugas di hospital kerajaan, wad kecemasan serta lokasi luar bandar dengan setiap satunya memperlihatkan kes berbeza,” katanya yang sudah lebih setahun bertugas di pusat perubatan itu.

Bercerita pengalaman yang memberi kesan mendalam sepanjang menjadi jururawat, Mohamad Azaha teringat insiden merawat seorang pesakit yang bergelut dengan kesakitan akibat kakinya remuk sewaktu bertugas di Hospital Pontian, Johor.

“Bayangkan, ketika itu darahnya memancut tidak berhenti kerana otot bahagian betis hancur berkecai. Walaupun sudah dibalut kesan parah itu, darah tidak berhenti memancut keluar.

“Dalam satu kejadian berasingan, saya pernah diberi peluang menguruskan kes bedah siasat mangsa lemas di laut. Saya masih ingat bau mayat itu yang sukar digambarkan. Walaupun sudah ditutupi tiga lapisan topeng, baunya cukup kuat.

“Namun, semua itu mendorong saya lebih bersemangat dan bersedia pada masa depan,” katanya yang menggalakkan lebih ramai jejaka menyertai profesion mulia itu.

Profil: Mohamad Azaha Mohamed Yusoff
Umur: 25 tahun
Tarikh lahir: 1 Mei 1986
Tempat lahir: Johor Bahru
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 68 kilogram
Status: Bujang
Jawatan: Jururawat Bahagian Dewan Bedah

Afiq puas apabila pesakit menghargai

BUKAN mahukan balasan jauh sekali pemberian cenderamata atau hadiah, bagi Muhammad Afiq tiada yang lebih bermakna bagi jururawat apabila pesakit dirawati mula menunjukkan perubahan positif dan sembuh di depan mata.

“Tatkala pesakit berjuang dalam keadaan kritikal dan akhirnya beransur pulih, manakala yang lain pula terlantar dan mampu berjalan semula – itu semua sumber kekuatan bagi kami dalam bertugas.

“Jika hendak dikira ragam pesakit, bermacam-macam yang dilalui saban hari bagai suatu proses pembelajaran. Tidak kiralah jururawat wanita atau lelaki, masing-masing penting dan saling melengkapi,” katanya sambil menambah ungkapan terima kasih daripada pesakit sudah cukup memberi motivasi kepada jururawat seperti dirinya.

Bertugas di Dewan Bedah, Muhammad Afiq berkata, beliau pada mulanya tidak terfikir menjadi jururawat kerana minat asalnya ialah bidang masakan.

Malah, ketika di peringkat awal menuntut dalam Kolej Kejururawatan Masterskill, anak muda berusia 23 tahun ini masih tercari-cari rentak sebelum akhirnya menemui kecintaan sebenar sebagai jururawat.

Itu terbukti apabila beliau mencatat keputusan cemerlang sepanjang mengikut pengajian peringkat diploma kejururawatan di kolej swasta itu, sekali gus memudahkan dirinya mendapat peluang pekerjaan di hospital.

“Apa yang saya lihat, pasaran bagi jururawat lelaki agak meluas, malah sebenarnya profesion ini cukup meluas tidak saja untuk bidang perubatan di Malaysia malah berpeluang bekerja di luar negara dengan tawaran gaji agak lumayan.

“Ketika ini, saya hanya mahu menimba pengalaman sebelum memikirkan untuk mencuba peluang lain terutama di luar negara,” katanya yang pernah mengikuti latihan ilmiah di Hospital Ampang; Hospital Putrajaya dan Pusat Perubatan Taman Desa.

Profil: Muhammad Afiq Zulkifli
Umur: 23 tahun
Tarikh lahir: 14 Julai 1988
Tempat lahir: Bukit Baru, Melaka
Tinggi: 178 sentimeter
Berat: 80 kilogram
Status: Bujang
Jawatan: Jururawat Bahagian Dewan Bedah

Ibu sumber inspirasi Naimullah

DUNIA kejururawatan bukan asing dalam hidup Naimullah kerana ibunya juga seorang jururawat di Hospital Sabak Bernam, Selangor. Namun, seperti ibunya, anak kedua daripada empat beradik ini tidak menyangka akhirnya beliau mengikut jejak langkah ibunya.

Ketika menamatkan kursus Diploma Kejururawatan di Kolej Segi Kuala Lumpur, tiga tahun lalu, Naimullah menjadi satu-satunya pelajar lelaki daripada 117 pelajar yang mengikuti kursus kejururawatan di kolej swasta itu.

Nyata pilihan anak muda berusia 23 tahun ini memberi kelebihan tersendiri berikutan pasaran jururawat lelaki memberi skop cukup meluas lebih-lebih lagi di Malaysia.

“Masih ramai orang kurang menyedari wujudnya jururawat lelaki hingga ada yang beranggapan kami ini (jururawat lelaki) sebagai doktor.

“Apabila diterangkan kami ini jururawat, ramai berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Sedangkan jika hendak dikirakan di luar negara, profesion ini sudah dilihat biasa dan jumlahnya agak ramai berbanding di Malaysia,” katanya yang bertugas di bahagian Kecemasan.

Berbekalkan pengalaman menjalani praktikal di sembilan hospital seluruh negara termasuk hospital mental di Tampoi, Johor Bahru dan Hospital Sibu, Sarawak, Naimullah mengutip banyak pengalaman berharga yang dijadikan bekalan ketika berdepan kes kecemasan.

Ditanya perbezaan bertugas di hospital kerajaan dan swasta, secara jujur jejaka berusia 23 tahun ini mengakui hospital kerajaan memberi pengalaman mencabar terutama setiap kali berdepan kes kecemasan.

Ditanya antara pengalaman terawal yang tidak dapat dilupakannya sepanjang bertugas anak muda ini pantas berkata:

“Ada satu kejadian di mana saya perlu membersihkan tumor yang membentuk lubang besar di perut pesakit. Ketika itu, cecair asid tidak henti-henti mengalir.

“Dalam situasi begini, apabila kita berdepan dengan kes-kes serius saban hari, perasaan takut beransur-ansur hilang kerana objektif kita adalah untuk membantu pesakit sedaya mungkin,” katanya.

Profil: Naimullah Jamaluddin
Umur: 23 tahun
Tarikh lahir: 29 Oktober 1988
Tempat lahir: Sabak Bernam, Selangor
Tinggi: 178 sentimeter
Berat: 62 kilogram
Status: Bujang
Jawatan: Jururawat Bahagian Bilik Kecemasan

INFO: Sejarah jururawat

  • Florence Nightingale lahir pada 12 Mei 1820 dikenali sebagai Wanita dengan Pelita – beliau adalah perintis dalam bidang kejururawatan. Nightingale juga terkenal sebagai ahli statistik.
  • Dilahirkan dalam keluarga berada British di Florence, Itali, Nightingale membuat keputusan memasuki bidang kejururawatan pada 1845. Keputusan ini menimbulkan kemarahan dan kesedihan keluarganya. Ini kerana ketika itu, jururawat tidak mempunyai reputasi yang baik dan datang dari keluarga miskin.
  • Sumbangan Nightingale yang paling diingati ialah ketika Perang Crimea. Hatinya tersentuh mendengar berita penderitaan tentera yang tercedera dan terbiar dalam hospital kotor.
  • Bersama 38 jururawat lain, Nightingale pergi ke Scutari (kini di terletak Istanbul) dan menghidupkan kembali konsep penjagaan kebersihan hospital dan kaedah jagaan oleh jururawat. Nightingale memberi penekanan kepada aspek pemerhatian teliti serta peka kepada keperluan pesakit dalam tugas jururawat.
  • Nightingale kembali ke England sebagai wirawati pada 7 Ogos 1857. Nightingale berpindah dari Buckinghamshire ke Piccadilly, London di mana beliau jatuh sakit pada 1896, sebelum meninggal dunia pada 13 Ogos 1910.
  • Nightingale dikebumikan di tanah perkuburan St Margaret Church di East Wellow, England.

    Terima kasih : Bahagian Perhubungan Media & Penulis, Pusat Perubatan Prince Court, Annie Freeda Cruez