Kisah Pulut Durian !

1:03 pm in informasi

Pulut durian.

Pulut durian.

.

Musim durian berpesta lagi. Durian ada di mana-mana.. di Perak, di Pahang, di Kedah dan di Selangor. Ketika melintasi sebuah kawasan yang menjual durian di Gombak ini saya teringat kepada sebuah kisah manis yang berlaku 3 tahun lepas. Seorang pelajar saya H berkali-kali menghantar sms kepada saya, “Madam ada tak di bilik, saya nak jumpa madam, ada hal sikit nak cakap.” Berkali-kali juga saya membalas smsnya dan meminta dia datang pada sebelah petang ke pejabat saya. Tapi setiap kali saya lapang, H pula ada kelas atau ada hal lain. dan setiap kali dia lapang, saya pula berada di luar kampus menguruskan anak-anak atau atas urusan kerja. Akhirnya satu hari saya menghantar sms kepada dia, “H…,apa yg awak nak beritahu saya tu? sms aje lah. susah sangat kita nak berjumpa.”

 

Akhirnya satu petang dia menelefon saya, dan dengan suara yang seperti agak malu dan segan dia bertanya, “Madam pandai tak masak pulut durian? Saya teringin sangat nak makan pulut durian mak saya masak. Tapi saya takut tak sempat rasa sebab kalau cuti nanti rasanya musim durian dah habis.” Pertama kali dalam sejarah hidup saya mengajar di UIA selama 17 tahun (waktu itu), seorang pelajar meminta saya memasak untuk dia. Lebih istimewanya, saya mengajar H ketika dia di tahun pertama dan ketika dia meminta saya memasak pulut durian, dia sudah berada di tahun tiga pengajian.

 

Perasaan saya waktu itu bercampur baur antara rasa lucu dan terharu. Saya menjawab soalan dia petang itu, “saya tak pandai masak pulut durian sebab saya tak suka makan makanan yang manis-manis. Saya tak tahu macamana rasa pulut durian yang sedap. Tapi kalau saya minta kawan saya yang masakkan pulut durian tu boleh ke?” Dn H bertanya saya semula, “tak menyusahkan madam ke?” . “Tak apa, saya cuma minta kawan saya carikan durian dan masak untuk awak,apa yang susahnya.” H mengucapkan terima kasih berulang kali dan saya dapat mendengar kegembiraann di dalam suaranya. Terharunya hati kerana bila memikirkan kita selalunya hanya akan meminta ibu kita, nenek kita, emak saudara kita atau kakak dan adik kita memasakkan makanan kegemaran kita. Saya sempat mengirinmkan sms kepada H dan mengatakan, ‘H..terima kasih kerana permintaan awak hari ini membuatkan saya rasa dihargai sebagai seorang ibu.” Dan dia membalas sms saya dengan ayat yang berbunyi, “saya selalu anggap madam sebagai ibu saya.TQ madam.”

 

Hanya selepas dua hari, kawan saya seorang caterer dapat memasak pulut durian yang saya minta. Saya masih ingat betapa gembiranya H hari itu dan berulangkali dia mengucapkan terima kasih kepada saya. ‘Madam, berapa semua kos pulut durian ni.”, dia bertanya saya. Saya memberitahu dia, ‘tak perlulah tanya berapa kos pulut durian, makan aje lah H. lagi pun itu bukan duit saya, tapi duit elauan keraian.” Dia bertanya saya lagi, “Elaun keraian tu apa madam?” Saya memberitahu H, “Elaun keraian atau entertainment allowance tu adalah elaun yg diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan di dalam jawatan2 tertentu termasuklah pensyarah-pensyarah di dalam gred gaji tertentu. elaun tu adalah untuk meraikan tetamu-tetamu kita, contohnya utk meraikan tetamu, client atau kawan2. Jadi elaun keraian untuk pensyarah tentulah termasuk meraikan pelajar-pelajar mereka.’

 

“Ooo…macam tu, fahamlah saya”, kata H sambil beredar dari ofis saya dengan bekas pulut durian di tangannya. Selepas itu saya terfikir, apa sebenarnya hukum elaun keraian ini kalau tidak pernah digunakan untuk meraikan orang-orang yang sepatutnya diraikan? Mungkin dengan mengadakan rumah terbuka setahun sekali selepas Aidilfitri itu dapat dimanfaatkan elaun tersebut. Atau mungkin dengan membelikan hadiah-hadiah kepada pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam keputusan peperiksaan atau yang mempunyai peratus kehadiran yang paling tinggi dan mendapat markah tertinggi di dalam diskusi-diskusi di dalam kelas.

 

Bukan apa, teringat kepada satu tazkirah yang pernah saya baca, setiap sen gaji yang kita terima adalah antara perkara yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Kemanakah kita belanjakan gaji tersebut dan bagaimanakah kita menggunakan wang gaji yang kita perolehi. Adakah kita amanah di dalam tugas kita dan adakah kita amanah di dalam menggunakan elaun yang diberikan kepada kita? Adakah kita telah memberikannya kepada mereka yang berhak dan patut menerimanya?Sama-samalah kita fikirkannya.

 

Kepada H..terima kasih kerana membuatkan saya rasa dihargai seperti seorang ibu. Doa saya semoga h dan semua pelajar saya yang lain berjaya di dunia dan akhirat. Di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung. Jadilah manusia yang bukan saja beriman dan beramal, tetapi jadilah manusia yang tinggi budi bahasanya kerana di situ sebenarnya terletak nilai seorang manusia. Seperti biasa, saya hanya ingin berpesan, jangan sekali-kali lupa atau lokek dengan 3 perkataan “Please (tolong), sorry (maafkan saya) dan thank you (terima kasih).

 

Untuk semua sahabat dan warga SIM di mana sahaja, selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa.Semoga penghayatan Ramadhan kali ini lebih bermakna dari tahun-tahun sudah. Jaga makan minum, jaga mulut, jaga hati. Mungkin ini Ramadhan kita yang terakhir..siapa tahu?

wassalam

Dr fauziah

Perkongsian email dan credit gambar.