Apa itu lawak 1 April atau april fool ?

Posted on the April 1st, 2014 under informasi by

1 April setiap tahun adalah ‘hari pelepasan’ untuk mengenakan sesiapa saja dirasakan patut. Tak boleh marah atau mengamuk sebaliknya sesiapa menjadi mangsa harus melihat ia sebagai gurauan atau usikan normal. Bagaimanapun, meneliti setiap jenis gurauan yang dilakukan, penulis sendiri HAZRIL MDNOR mengakui ada kesan buruk di sebalik usikan itu.

Pada 1 April setiap tahun, rakyat Malaysia dan seluruh dunia gemar bergurau senda dan membuat lawak pada rakan-rakan. Hari yang dikenali sebagai ‘April’s Fool’, ‘Poisson d’Avril’ atau ‘April Fish’ ini ada kebaikan dan keburukannya. Kebanyakan remaja yang menyambutnya kadangkala keterlaluan apabila menyakat rakan mereka sehingga berlaku pergaduhan antara mereka.

Asal usul ‘April’s Fool’ ini sendiri adalah misteri. Teori popular mengenai asal usul hari jenaka ini bermula pada tahun 1582 di mana orang Perancis menggunakan kalendar Gregoria untuk menggantikan kalendar Julian. Kalendar baru itu menetapkan tarikh tahun baru pada 1 Januari. Menurut satu keterangan popular, ramai orang pada masa itu tidak setuju dengan tarikh baru berkenaan dan bertekad menyambut tahun baru pada 1 April.

Tidak lama kemudian, ramai orang menyindir atau membuat lawak pada tradisionalis itu dengan menghantar mereka bagi melakukan ‘suruhan orang bodoh’ ataupun cuba memperdayakan mereka untuk mempercayai sesuatu yang palsu.
Di Malaysia, ‘April’s Fool’ kerap disambut oleh remaja yang kebanyakannya masih bersekolah dan ia begitu popular sehinggakan ia menjadi tradisi ‘wajib’ yang perlu disambut setiap tanggal 1 April.Gen Y mendekati dua remaja bagi mendengar pandangan mereka mengenai ‘April’s Fool’ ini termasuk pekerja syarikat swasta berusia 22 tahun, Shafinas Shukor yang menyifatkan sambutan ‘April’s Fool’ ini ada juga kebaikannya.

“Sebagai contoh, pada tanggal 1 April ini kita boleh menguji bagaimana sikap seseorang itu, sama ada orang yang kita kenakan itu seorang yang penyabar ataupun seseorang yang mudah mempercayai orang lain. Hari ini juga sebenarnya kita dapat bergurau senda antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan.“Keburukan ‘April’s Fool’ pula dapat dilihat apabila gurauan yang dilakukan itu keterlaluan sehingga boleh menyebabkan salah faham ataupun pergaduhan.

“Tak perlulah menganggap hari ‘April’s Fool’ sebagai hari yang membanggakan. Cukuplah sekadar hari yang boleh membuat kita ketawa dan bergurau senda selagi tidak melebihi batas-batas yang ditetapkan.” katanya.Menurutnya, hari ‘April’s Fool’ ini adalah istimewa kerana ia disambut sekali saja setiap tahun. Pada sambutan ini, ramai orang bergelak tawa dan menyakat antara satu sama lain dan tidak meriah macam hari-hari biasa.

Katanya, walaupun ia sekadar gurauan dan bukan berniat untuk mencetus pergaduhan, sesiapa saja yang menjadi mangsa perlulah berfikiran lebih terbuka dan dapat menerima segala tohmahan bahan jenaka yang diajukan pada mereka.Lain bagi Naim Rosli juga seorang pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 21 tahun, katanya ‘April’s Fool’ bertujuan untuk menceriakan rakan atau teman yang mempunyai masalah agar dia boleh ketawa dan gembira serta terlepas daripada tekanan.

“Lawak ‘April’s Fool’ ini kadangkala bersifat keterlaluan terutama dalam kalangan remaja yang masih menduduki alam persekolahan. Ada sesetengah pihak yang dapat menerima manakala sesetengah lagi tidak. Namun ia tidak menjadi suatu bebanan dalam kalangan remaja yang sudah berfikiran matang.“Keburukannya pula dapat dilihat apabila remaja akan terpengaruh. Misalnya, apabila sudah dikenakan lawak ‘April’s Fool’, dia akan membalasnya kepada rakan yang masih belum kena. Keburukan lain mungkin mengundang risiko pergaduhan, sangka buruk dan dendam.

“Pada saya, ‘April’s Fool’ ini tidaklah dikategorikan sebagai hari yang patut dibanggakan kerana ia hanya sekadar gurauan semata-mata. Gurauan yang keterlaluan mungkin tidak membanggakan, tetapi kalau niat untuk ceriakan kawan adalah tak salah. Ia dianggap hari gurauan sedunia.” katanya.Menurutnya, walaupun ia popular dalam kalangan remaja negara ini, seseorang itu janganlah begitu taksub dengan sambutan ini sehingga sanggup melukakan hati orang lain seterusnya boleh memutuskan hubungan persahabatan.

Kebaikan di sebalik jenaka

Remaja yang masih bersekolah biasanya akan menyambut ‘April’s Fool’ ini secara besar besaran. Mereka akan menyakat rakan-rakan kelas dengan pelbagai lawak jenaka yang kadangkala tidak masuk akal. Ada juga yang membuat sesuatu helah tipu daya bagi memperbodohkan rakan dengan alasan ia kelihatan kelakar dan menyeronokkan.Tidak semua bahan jenaka atau tipu helah dianggap kasar seperti anggapan sesetengah pihak. Sebenarnya, lawak ‘April’s Fool’ ini boleh dilihat dari sudut yang positif juga. Tidak semua berunsur memalukan atau merendahkan martabat seseorang. Misalnya, hari ‘April’s Fool’ disambut bagi memeriahkan hari mereka yang murung dan monyok. Katakanlah pada 1 April itu, ada rakan yang kelihatan ‘blur’ dan membosankan. Pastinya lawak akan menghiburkan hati mereka. Lebih-lebih lagi lawak yang kedengaran pelik dan tidak masuk akal.

Jika dilihat dari aspek lain, hari ‘April’s Fool’ ini sebenarnya adalah hari untuk melepaskan geram atau tekanan. Remaja yang tertekan akibat kerja sekolah yang banyak, lambakan kertas kerja yang perlu disiapkan ataupun mereka yang murung dilanda masalah pasti memerlukan sesuatu yang seronok atau lawak jenaka bagi menghilangkan segala permasalahan mereka. Apa salahnya dalam sehari bergelak ketawa melepaskan tekanan kerana ia hanya bersifat sementara dan tidak kekal.

Selain itu, hari berjenaka 1 April ini boleh juga mengeratkan hubungan antara keluarga. Mencuit, membuat lawak bodoh dan berjenaka di hadapan ahli keluarga adalah penting untuk menguatkan ikatan kekeluargaan. Lawak itu sendiri adalah bagus dalam meredakan tekanan selain memberikan impak yang positif pada kesihatan. Membuat lawak itu juga boleh menguji keyakinan dan kepercayaan seseorang. Ini kerana jenaka yang dikenakan itu seharusnya tidak menimbulkan pergaduhan atau boleh memalukan orang lain.

Masalah yang timbul

Bahana di sebalik jenaka ‘April’s Fool’ kerap diperkatakan antara masyarakat. Ada saja remaja yang selalu tawar hati dan sakit hati kerana dipermainkan oleh rakan mereka walaupun ia dianggap perkara kecil. Misalnya, seseorang yang sensitif pasti terkesan oleh lawak jenaka rakan mereka. Lebih buruk lagi jika mereka menganggap ia sebagai perkara serius dan tak patut dijadikan bahan lawak.

Lihat saja ketika di alam persekolahan di mana remaja yang pendiam dan pemalu sering dikecam oleh pelajar lain dalam kelas. Contohnya, mereka akan ditampal kertas yang bertulis “Aku Bodoh”, “Aku Tak Kacak” atau sebagainya tanpa diketahui mangsa keadaan tersebut. Setelah mendapat tahu, remaja itu bukan saja geram bahkan menaruh dendam dan seterusnya melaporkan kepada guru disiplin. Ini disebabkan bukan semua remaja bersikap terbuka dan dapat menerima segala lawak yang dilemparkan pada mereka.Ada juga situasi di mana lawak yang dibuat itu terlebih serius dan membawa padah pada mangsa. Contohnya, seseorang itu membuat lawak yang membabitkan kematian. Walaupun ia dianggap sebagai bahan ketawa, ia boleh dianggap perkara yang bukan main-main oleh sesetengah pihak. Mana tidaknya, topik berkaitan kematian adalah sesuatu yang sensitif.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/01

Siapa mahu jadi kaya seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ?TAMAT

Posted on the February 8th, 2010 under fakta,informasi,tips by

sambungan BAHAGIAN PERTAMA DAN KEDUA.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya. 
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama. 
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan. 
note=korang sudah ready hendak jadi seperti beliau?